June 23, 2009

Bangkok meterai ikatan

Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT
suzana.rajahamat@kosmo.com.my

Saya lamar Nikki di hari jadinya ketika kami bercuti bersama keluarga di Bangkok, Thailand, tahun lepas. – AUDI



SETIAP wanita atau gadis yang hendak melangsungkan perkahwinan, pasti mengimpikan kenangan dilamar lelaki idaman akan tersemat di jiwa sebagai detik terindah dalam diari hidupnya.

Nikki juga begitu. Sementelah sepanjang hidupnya, cinta terhadap komposer ternama bergelar Audi Mok adalah cinta pertama yang terbit di jiwa.

"Sejak sekolah saya tidak punya teman lelaki. Selepas habis belajar, saya sibuk kejar cita-cita nak jadi penyanyi dan tiada masa untuk bercinta.

"Bila berkawan dan mengenali hati Audi, saya cukup serius dalam hubungan kami. Memang sejak kami serius, saya berhajat mahu berkahwin dengan kekasih pertama saya ini," cerita Nikki.

Berkenalan atas dasar profesional, seorang pendatang baru dunia nyanyian dan seorang lagi komposer yang sedang mengukir nama, Audi, 37, awalnya tidak pernah menyukai Nikki. Meminati gadis kelahiran Kota Kinabalu (KK), Sabah itu juga jauh sekali.

"Mula-mula kami bekerjasama adalah semasa saya menghasilkan single pertama Nikki untuk projek final Malaysian Idol. Saya menyampah bila melihat Nikki, dia nampak sombong.

"Setahun kemudian, Vernon menghubungi saya minta agar saya terlibat dengan pembikinan album pertama Nikki, Maharani.

"Ketika itu, saya cuba menolak tawaran itu sebab saya tak mahu nak bekerja dengan Nikki tapi sebab dipujuk oleh (pengurus Nikki) Vernon, saya terima juga.

"Sebenarnya, sepanjang pembikinan album pun saya masih tidak menyukai Nikki. Hubungan kami cuma bermula selepas selesai pembikinan album, itupun sebagai kawan. Selepas itu barulah kami bercinta," cerita Audi tentang kisah perkenalannya dengan Nikki yang bermula sejak tahun 2004.

Secara rasminya Nikki dan Audi sudah mendaftar sebagai suami isteri pada 30 Mei lalu.

Sungguhpun begitu, pasangan itu menunggu sehingga berlangsungnya upacara perkahwinan mengikut adat istiadat Kristian Katolik yang akan dijalankan di Gereja St. Xavier, Petaling Jaya pada 27 Jun 2009, Sabtu ini untuk tinggal sebumbung.

"Sebenarnya perkara itu sangat personal dan terpulang kepada setiap pasangan. Buat masa sekarang kami masih tinggal berasingan lagipun rumah saya yang terletak di Desa Petaling sedang diubahsuai, rasanya Julai baru selesai," jelas Audi selamba.

PIYU (kanan) berusaha membawa Nikki untuk menembusi pasaran Indonesia.


Lucu dan peramah ketika melayani usikan media tentang perkahwinan mereka, Audi dan Nikki seperti masih canggung duduk berdampingan sebagai suami isteri.

Audi dengan kerenah dan mimik muka yang akal manakala Nikki pula kelihatan serius walaupun dia jauh lebih muda daripada Audi.

Sepanjang bercinta, Nikki dan Audi juga tidak banyak keluar berdua-duaan seperti pasangan lain. Masing-masing sibuk dengan kerja sementelah Audi sendiri sentiasa dikejar ramai penyanyi dan penerbit album yang sentiasa mahukan sentuhan karyanya.

"Kami tiada istilah dating. Kalau berjumpa di studio untuk rakaman album pun asyik bergaduh. Audi sangat profesional. Dia tetap akan marah dan tegur saya jika nyanyian saya tidak mengikut piawaiannya," ujar Nikki yang ditemui pada majlis pelancaran album keduanya berjudul, Hawa di Borneo Baruk Club, ibu negara, baru-baru ini.

Dalam kesibukan tugas yang tidak pernah selesai itu, terdetik satu persoalan, bagaimana Audi melamar Nikki dan bagaimana rencana perkahwinan boleh menyelinap ke dalam hidup Audi dan Nikki.

"Saya lamar Nikki pada hari jadinya ketika kami bercuti bersama keluarga di Bangkok, Thailand, tahun lepas," kata Audi.

Sebelum menyambung cerita manis itu, Audi mengeluarkan telefon bimbitnya dan memainkan klip video eksklusif yang merakamkan detik manis lamarannya terhadap Nikki untuk dikongsi bersama rakan media.

Dalam klip video yang dirakamkan di sebuah restoran makanan laut itu, kelihatan Nikki diajak menari oleh sekumpulan penari tradisional yang sedang membuat persembahan.

IMEJ dan tenaga Nikki menarik minat karyawan muzik negara jiran.


Nikki kemudiannya membuat pengumuman bahawa hari berkenaan merupakan hari jadinya dan saat itulah, Audi tampil melutut seraya meluahkan lamaran buat Nikki dan menyarungkan sebentuk cincin ke jari gadis impiannya.

"Saya terkejut bagai nak gila. Mulut saya ternganga dan kemudian menjerit dan menangis. Saya langsung tak sangka sebab Audi tak pernah romantik. Itulah perlakuannya yang paling romantik setakat ini.

"Kemudian baru saya terfikir, sebab nak rahsiakan perancangan lamaran itulah agaknya dia kelihatan sangat tertekan sejak kami hendak bertolak dari KL lagi," ucap Nikki penuh teruja.

Menurut Audi lagi, rencana lamaran berkenaan adalah ilham adik perempuannya, Jun.

"Keluarga saya asyik bertanyakan tentang perkahwinan. Sebenarnya, sebelum ke Bangkok lagi saya dah pernah rancang nak lamar Nikki, tapi tak pernah menjadi. Selepas balik dari Bangkok, kami bertunang iaitu pada 26 Disember 2008," katanya yang tidak merancang untuk menjadikan perkahwinannya dan Nikki pada 27 Jun nanti sebagai suatu acara besar-besaran.

Biarpun begitu, Nikki mahu memastikan suasana serba sederhana itu masih berlangsung dalam aroma dan rasa yang menyentuh perasaan setiap tetamu yang datang.

"Saya akan pakai gaun pengantin rekaan Jovian Mandagie, manakala Audi bakal pula mengenakan sut rekaan Lord's Taylor. Kami pilih warna putih dan gaun yang berkonsepkan pari-pari. Hari berkenaan saya kena kawal diri sebab saya pasti akan menangis nanti," kata Nikki.

Tiga hari sebelum majlis penting itu juga, Nikki pula masih ada komitmen kerja yang perlu dilunaskan. Dia dijadualkan tampil dengan satu persembahan istimewa bertempat di Borneo Barok Club pada hari Rabu, 24 Jun ini.

Berkahwin dan dalam masa yang sama sibuk dengan persembahan serta promosi album kedua yang baru dilancarkan, tidakkah pertembungan itu sesuatu yang menyulitkan dan Nikki sengaja menempah kesibukan dalam diari hariannya.

"Tarikh 27 Jun dah ditetapkan sejak kami bertunang lagi. Ketika itu, kami tidak menyangka akan sesibuk sekarang. Nampaknya saya terpaksa menempuh jadual ketat ini walaupun agak kesempitan waktu.

"Saya dahulukan buat majlis di KL juga telah menyebabkan ibu saya menangis, katanya sampai hati tak nak buat majlis di KK.

"Saya kena selesaikan apa yang dirancangkan, kemudian di Melaka dan Ogos nanti, akan ada satu lagi majlis resepsi di KK," jelas Nikki.

Memilih Bali sebagai destinasi berbulan madu, Nikki dan Audi merancang mengambil cuti singkat bermula 2 hingga 7 Julai depan.

Berpotensi tembusi Indonesia

Selepas Maharani, Nikki kini tampil dengan konsep yang lebih matang sesuai dengan statusnya, isteri orang menerusi Hawa yang sudah dipasarkan sejak Disember 2008.

Hawa yang mendapat sentuhan khas Audi Mok selaku penerbit itu menampilkan lagu-lagu yang segar antaranya Oh My, Selamat Tinggal, Relakan , Belasmu dan Cantik.

Rezeki menamatkan zaman bujang. Mungkin itulah istilah yang paling tepat buat Nikki kerana dalam masa yang sama, dia sibuk dengan rencana melebarkan sayap ke tanah seberang.

AUDI merupakan kekasih pertama Nikki.


Sudah beberapa pertemuan dilakukan bersama penerbit di Jakarta bahkan ketika majlis pelancaran albumnya juga, ada kelibat penganjur dari Jakarta turut sama menyaksikan persembahan pembukaan daripada Nikki.

"Saya datang untuk melihat-lihat dan terkejut dengan konsep lagu serta persembahan daripada Nikki, ia jauh meleset daripada jangkaan saya selama ini. Saya pernah lihat Amy Mastura dan Ziana Zain, tapi Nikki sudah jauh meninggal era begitu," kata Satriyo Yudi atau Piyu mewakili syarikat Jas Merah dari Jakarta yang sedang berusaha membawa Nikki ke sana.

Menurut Piyu yang juga gitaris kumpulan Padi itu, konsep dan imej yang dibawa oleh Nikki dilihat ada potensi jika berjaya menembusi Indonesia.

"Saya lihat Nikki punya tenaga dan bakal ada peluang besar," akui Piyu yang kebetulan ada di KL kerana terlibat dengan Pesta Malam Indonesia 3, Sabtu lalu.


Sumber: KOSMO!

0 comments: