May 4, 2009

Keterujaan Nikki


Oleh WANDA IDRIS
Foto IHSAN Artistes United Records


AWALNYA pemergian ke Jakarta, Indonesia semata-mata untuk memenuhi undangan pereka fesyen Jovian Mandagie.

Pereka fesyen popular tempatan itu mengundang Nikki untuk membuat persembahan pada majlis pelancaran koleksi rekaan terbarunya di Jakarta pada 24 April lalu.

Bukan itu sahaja, Nikki juga dijemput untuk menyanyi pada pelancaran majalah baru, ME (Male Emporium) di kota itu.

Namun siapa menyangka kehadiran buat pertama kali di Jakarta memberinya peluang memperkenalkan diri kepada beberapa individu popular di sana.

Paling mengujakan apabila dia berkesempatan berkenalan dan bermesra dengan vokalis Sammy daripada kumpulan Kerispatih yang sekarang ini begitu popular dengan lagu Bila Rasa Ini Rasamu.

Lebih-lebih lagi apabila turut dijemput ke pentas oleh Sammy untuk sama-sama menyanyi lagu kegemarannya itu.

Semuanya bermula apabila kawan Pengarah Urusan Artistes United Records, Vernon Kedit-Jolly menjemput mereka menghadiri majlis meraikan ulang tahun penubuhan kumpulan itu di The Rock Cafe, milik Ahmad Dhani.

"Ia kenangan paling manis saya di Jakarta. Saya memang meminati lagu-lagu Kerispatih dan memang suka dengan vokal Sammy yang penuh kejantanan.

"Selepas mereka selesai persembahan, saya jumpa mereka dan beritahu saya minat dengan lagu-lagu mereka.

"Tak sangka pula, kemudian mereka naik kembali ke pentas dan Sammy menjemput saya untuk menyanyi bersamanya.

"Terkejut dan teruja. Iyalah, macam bulan jatuh ke riba. Tak sangka mereka panggil saya menyanyi sama," cerita Nikki yang menyanyikan dua lagu bersama Sammy, Don't Wanna Miss a Thing (lagu Aerosmith) dan lagu kegemarannya, Bila Rasa Ini Rasamu.

"Punyalah teruja sampai lirik pun saya lupa masa menyanyi," tambah Nikki sambil ketawa.

Pertama kali berjumpa, Nikki sempat menghulurkan albumnya, Hawa dan dia amat terharu kerana tidak menyangka mereka menghargai pemberiannya itu.

Selain dijemput menyanyi bersama Sammy, Nikki juga berpeluang bergandingan dengan Ireng Maulana Band ketika duduk santai menikmati persembahan mereka di Jazz Lounge, Senayan Plaza.

Tanpa diduga, tiba-tiba namanya dipanggil untuk menyanyi bersama mereka apabila ada kalangan tetamu yang memberitahu ada penyanyi Malaysia menonton sama persembahan itu.

Nikki tidak melepaskan peluang memperkenalkan diri dan memperdengarkan vokalnya kepada tetamu yang hadir.

"Memang seronok dapat ke sana kerana khalayak mereka juga menerima dengan tangan terbuka. Memang mereka sukakan sesuatu yang unik dan segar," tambahnya.

Bagi Nikki mengadakan persembahan pada pelancaran koleksi fesyen terbaru Jovian juga memberinya satu peluang besar untuk memperkenalkan diri di sana.

"Begitu juga ketika persembahan di pelancaran majalah ME. Mereka berminat untuk menjemput saya menyanyi pada majlis itu kerana menyukai lagu-lagu dalam album saya selain tertarik dengan imej saya," ujar Nikki yang berkolaborasi untuk ruangan fesyen dalam majalah itu.

Dia mengenakan pakaian Jovian dan penggambarannya dilakukan di Kuala Lumpur awal April lalu.

Pada penggambaran itu Nikki sempat menghulurkan albumnya dan kebetulan klip videonya juga dipertontonkan kepada wakil majalah itu.

"Siapa sangka, mereka tertarik untuk menjemput saya menyanyi pada pelancaran itu dan saya sangat bersyukur dengan peluang sebitu," katanya lagi.

Selama empat hari berada di kota itu, selain menghadiri jemputan menyanyi, Nikki juga seronok dijamu dengan makanan tempatan.

Paling disukainya makanan Menado dan Padang hingga dia terlupa dengan dietnya ketika berada di sana.

Nikki mengakui benar-benar seronok dapat ke Jakarta kerana selain diundang menyanyi, dia juga dapat meluangkan masa bercuti.


Sumber: Pancaindera, Mingguan Malaysia

0 comments: