June 24, 2009

Tetap sibuk menjelang hari bahagia

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my>>

Biarpun ada meramalkan majlis perkahwinan Nikki dan pasangannya, komposer terkenal, Audi Mok, 37, berlangsung meriah dan besar-besaran, Nikki menafikannya. Sebaliknya, gadis berasal dari Kota Kinabalu, Sabah itu memilih majlis ringkas.

Nikki yang dicungkil bakat daripada Malaysian Idol musim pertama, bertunang pada 26 Disember tahun lalu dan sudah mendaftar perkahwinan pada 30 Mei lalu.

Dengan mengilhamkan konsep perkahwinan ala pari-pari, Nikki akan mengenakan gaun pakaian rekaan Jovian Mandagie manakala Audi sut rekaan Lord's Tailor.

Selepas majlis di gereja, pasangan ini akan berangkat ke Melaka bagi majlis di rumah keluarga lelaki manakala majlis resepsi pihak wanita di Sabah berlangsung awal Ogos nanti.

Nikki mengakui, tidak pernah menyedari bagaimana pintu hatinya terbuka dengan sikap sederhana komposer yang berasal dari Melaka itu.

"Dia (Audi) sangat profesional ketika bekerja. Saya sendiri tidak tahu macam mana boleh menerima cintanya. Dia nampak seperti seorang yang tidak pernah serius malah sikapnya tidak romantik. Namun, dia sangat bijak dan berbakat dalam kerjanya.

"Sebelum ini saya tidak pernah bercinta. Ketika belajar sekolah menengah dulu pun, sekolah perempuan. Selepas tamat belajar, saya sibuk pula dengan kerjaya seni.

"Audi adalah teman lelaki pertama saya. Sejak mula mengenalinya, memang kami serius dalam hubungan ini. Memang impian saya mahu berkahwin dengan teman lelaki pertama.

"Walaupun masih sibuk dengan aktiviti seni masing-masing, kami tetap melangsungkan majlis perkahwinan ini. Justeru, saya memikirkan untuk melaksanakannya secara ringkas. Tidak banyak kerja dan tidak perlu pening," katanya.

Beberapa hari menjelang detik bersejarahnya itu, Nikki masih ada ruang untuk menghadiri pelancaran album Hawa. Hadir sama, Pengarah Urusan Artiste United Records (AUR), Michael Ang dan Pengurusnya, Vernon Kedit.

Sebelum majlis perkahwinannya itu, penyanyi yang sedang popular dengan lagu Selamat Tinggal itu akan menjayakan persembahan Showcase Bersama Nikki di Borneo Barok Club (BBC), Kuala Lumpur, malam ini (24 Jun).

Diiringi band BBC, Nikki akan mempersembahkan lebih tujuh lagu daripada koleksi albumnya dengan konsep parti dan sempena meraikan hari wanita (ladies nite) pada malam itu.

Audi yang turut menemani Nikki pada majlis itu mengakui biarpun majlis perkahwinan semakin hampir, mereka juga sibuk dengan pelbagai aktiviti seni. Album Hawa yang mula berada di pasaran sejak 28 Disember lalu diterbitkan Audi dan edaran Satu Muzik Entertaiment.

Sedang Nikki sibuk dengan latihan untuk showcase serta promosi Hawa, Audi pula banyak meluangkan masanya di dalam studio menyiapkan beberapa projek menghasilkan lagu bersama beberapa artis seperti Faizal Tahir.

Walaupun ia perkahwinan pertama dalam keluarga Audi, mereka tetap memutuskan untuk mengadakannya secara ringkas. Audi mengakui hubungannya dengan Nikki mula rapat sejak tiga tahun kebelakangan ini.

"Kali pertama saya bertemu dengan Nikki ketika terbabit menghasilkan single untuk finalis pertandingan Malaysian Idol 2004. Saat itu saya langsung tidak suka dengan perangainya yang nampak seperti berlagak dan gaya diva.

"Selepas beberapa bulan, baru kami bertemu semula disebabkan kerja apabila pengurusnya (Vernon) menghubungi saya untuk menghasilkan album.

"Hubungan kami mula rapat selepas penghasilan album pertama. Kami tidak pernah keluar seperti pasangan lain. Kebanyakan masa kami luangkan di studio," katanya.

Apabila ditanya bagaimana saat dia melamar Nikki, Audi menceritakan detik manis yang berlaku di Bangkok, Thailand tahun lalu ketika menyambut hari jadi Nikki di sana yang ditemani ahli keluarga dan teman rapat.

Sambil menunjukkan klip video rakaman saat yang cukup romantis membuatkan Nikki sendiri agak terkejut dan menganggap ia saat paling bermakna dalam hidupnya.

"Bukan senang hendak tengok dia bersikap romantik seperti itu. Saya dapat tahu dia sudah banyak kali merancang melakukannya, namun segala perancangannya sebelum ini tidak menjadi. Begitupun, dengan bantuan adik dan beberapa rakan akhirnya perancangan itu dapat dilakukan ketika bercuti di Bangkok.

"Lepas melamar baru saya tahu kenapa dia kelihatan tertekan dan tidak senang duduk sejak tiba di Bangkok," kata Nikki.

Apabila berbicara soal perancangan selepas kahwin pemenang anugerah Album Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM) tahun lalu itu tetap meneruskan kerjaya seni. Malah menyifatkan suami cukup memahami dan tidak menghalang menerus kerjaya masing-masing. Kami menyokong antara satu sama lain.

Naluri seorang wanita apabila berkahwin sudah pasti keinginan untuk bergelar ibu tetap ada, namun bagi Nikki biarpun menginginkan dikurniakan zuriat, dia merancang untuk tidak memikirkan soal itu untuk tempoh terdekat ini. Sebaliknya mahu memberi tumpuan kepada aktiviti seni. Jika tiada aral pasangan ini juga dijangka berbulan madu di Bali pada 2 hingga 7 Julai ini.


Sumber: Harian Metro

0 comments: