March 6, 2009

Audi matang, stabil, profesional - Nikki


Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
metra.mohamed@utusan.com.my



TELAH diuar-uarkan sebelum ini bahawa tanggal 27 Jun ini, penyanyi Nikki, 24, bakal menamatkan zaman bujangnya bersama komposer terkenal, Audi Mok, 38.

Tiga tahun menyelam hati budi masing-masing, faktor perbezaan usia bukanlah penghalang bagi Nikki atau nama sebenarnya Nicolette Louisa Palikat untuk memilih Audi sebagai pasangan seumur hidup.

Malah, Nikki sendiri mengakui dirinya berasa selesa tatkala bersama Audi yang dilihatnya seorang lelaki matang dan mempunyai kehidupan stabil.

"Beza usia saya dan Audi adalah 14 tahun. Walaupun banyak kawan lelaki sebaya, tetapi saya melihat tidak ada seorang pun daripada mereka yang boleh dijadikan suami.

"Saya agak susah untuk menjalin hubungan dengan teman lelaki yang sama umur. Berlainan sekali dengan Audi. Dia ada kematangan dan kehidupan yang stabil," kata Nikki saat ditemui Hits pada sesi fotografi di studio Utusan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Nikki dan Audi mengikat tali pertunangan pada 26 Disember lalu di Sabah.

Majlis perkahwinan mereka pada 27 Jun ini akan dilangsungkan di Kuala Lumpur sebelum bergerak ke Melaka untuk menghadiri majlis resepsi pihak pengantin lelaki di sebelah malamnya.

Terus berbulan madu, majlis resepsi pihak Nikki bakal diadakan pada bulan Ogos di salah sebuah kawasan pantai di Sabah.

Menyambung bicara, Nikki berkata, biarpun akan ada yang 'bercakap di belakang' mengenai soal usianya dan Audi, namun dia enggan melayan kata-kata itu.

Jelasnya, apa yang penting ialah persediaan dan kematangan untuk menghadapi apa jua cabaran hidup sebagai suami isteri.

"Memanglah usia saya boleh dikatakan muda untuk bergelar isteri tetapi itu bukanlah isunya.

"Perkara paling penting adalah matang dan bersedia untuk melalui liku-liku alam perkahwinan,'' ujarnya.

Ditanya mengenai persiapan perkahwinan, Nikki memberitahu, segalanya akan dilakukan secara sederhana dan bersesuaian dengan imej Audi yang serba ringkas.

"Pereka pakaian untuk majlis perkahwinan sudah kami cari. Pada majlis resepsi di Sabah pula, saya dan keluarga masih belum memilih lokasi pantai yang bersesuaian.

"Tempat bulan madu pun kami belum tetapkan. Tapi saya teringin untuk belayar dengan kapal mewah ke luar negara,'' katanya.

Audi profesional

Sementara itu, ketika diajukan dakwaan sesetengah yang dia akan 'menggunakan' kemahiran bakal suaminya untuk memperoleh lagu-lagu terbaik hasil selepas berkahwin kelak, Nikki menafikan dakwaan berkenaan.

Ujarnya, Audi merupakan seorang komposer yang profesional dalam membuat penilaian untuk memilih artis-artis yang bakal menyanyikan lagu-lagu ciptaannya.

"Selama ini pun, saya tidak pernah memilih lagu daripada dia. Audi cukup profesional soal pemilihan artis. Dia juga tahu lagu mana yang sesuai untuk seseorang artis,'' jelasnya.

Kata Nikki, ketika di studio rakaman juga, Audi tidak pernah memberikan keistimewaan kepadanya.

"Untuk album pertama, Maharani dan album kedua, Hawa, Audi banyak memberikan hasil karyanya kepada saya.

"Dalam studio, Audi adalah komposer dan saya penyanyi. Mana ada romantik-romantik antara kami, kalau bergaduh adalah,'' tambah Nikki.

Cerita tentang Hawa

Dalam pada itu, diajak berbicara tentang Hawa, Nikki yang mula dicungkil bakatnya melalui Malaysian Idol musim pertama berkata, album yang memuatkan 12 buah lagu tersebut sudah pun berada di pasaran pada 28 Disember lalu.

Menampilkan rentak pop Melayu moden, katanya, promosi Hawa akan dilakukan dengan lebih sistematik.

"Jurang antara album pertama dan kedua adalah tiga tahun. Saya banyak belajar tentang album pertama.

"Soal edaran, promosi dan beberapa lagi masalah melanda menyebabkan album tersebut agak kurang mendapat sambutan.

"Bertitik tolak daripada itu, untuk Hawa, kami akan bergerak secara menyeluruh di samping menjual lagu-lagu secara online,'' ujarnya.

Menurutnya, pelancaran Hawa akan dilakukan dalam masa terdekat diikuti dengan showcase promosi Hawai.

Lagu-lagu yang dimuatkan dalam album Hawa adalah Cantik, Tak Perlu, Selamat Tinggal, Hawa, Baby Baby, Oh! My, Belas Mu, Relakan, Semalam Dan Sebelumnya, Pretty Like Me, Betara Sukma dan Cinta.


Sumber: Utusan Malaysia

0 comments: