February 1, 2009

Nikki, Audi Kahwin 27 Jun

by Li Ee Kee | 31 Jan 2009



Bagi mereka yang sempat menonton ‘Melodi’ minggu lepas, anda sudah pasti tahu tentang ‘pertunangan rahsia’ Audi Mok dan Nikki Palikat (finalis ‘Malaysian Idol’). Berkesempatan berjumpa Nikki di ‘Karnival Beramal Bersama Bintang ABPBH2008 Untuk Gaza’ yang berlangsung dari 10 pagi hingga 6 petang tadi di Amcorp Mall, Petaling Jaya, dia juga mengesahkan berita gembira itu.

Seperti ramai bakal pengantin, Nikki kelihatan berseri-seri dan tidak lokek berkongsi cerita percintaannya dengan komposer terkenal itu dan perancangan untuk hari perkahwinan mereka nanti.

Gadis manis yang berasal dari Sabah ini memberitahu, lamaran dibuat ketika mereka berdua bercuti di Bangkok, Thailand pada bulan November lalu, sebagai menyambut ulang tahun Nikki yang ke 23. Audi, 36, melamarnya ketika mereka di sebuah restoran untuk makan malam, di hadapan pelancong-pelancong lain.

“Memang tak dijangka langsung sehingga saya menangis,” jawab Nikki bila ditanya reaksinya.

Menurut Nikki, walaupun tidak merancang untuk mengadakan majlis pertunangan, namun atas permintaan ibunya, ia diadakan pada 26 Dis lalu di Sabah, dihadiri hanya keluarga terdekat. Hari perkahwinan akan diadakan pada 27 Jun ini di Kuala Lumpur pada sebelah pagi sebelum mereka bertolak ke Melaka (kampung Audi) untuk majlis resepsi pada sebelah malam. Sekembali mereka dari berbulan madu – Phuket, Thailand antara destinasi pilihan Nikki – akan diadakan majlis di sebelah keluarganya di Sabah.

Berpacaran selama tiga tahun, mereka bertemu ketika Nikki sedang merekodkan album sulungnya, ‘Maharani’ (2005), di mana Audi merupakan produser utama.

“Ketika itu, kami hanya berkawan. Tapi bila bermulanya promosi untuk album, perhubungan kita bertukar menjadi lebih dari itu.”

Bagi Nikki, walaupun bimbang saat bergelar isteri nanti dia tidak dapat menjalankan tanggungjawab itu dengan sempurna dan dikhuatiri juga jika hubungan mereka akan berubah, namun dia cukup gembira kerana menemui cinta sejati dan memperolehi seorang bakal suami yang memahaminya.

“I have met a lot of guys tapi tiada seorang pun seperti dia dari segi pemikiran dan personaliti. We have that connection, chemistry. Dari segi prinsip dan ideals, kami sependapat. Saya boleh cerita apa saja pada dia. And he is not controlling.”

Buat Nikki dan Audi, GUA ucapkan tahniah!


Sumber: Gua.com.my

0 comments: