January 30, 2009

Nikki tiada rahsia

Oleh Rudy Imran Shamsudin

imran@hmetro.com.my

Nikki dan Audi sudah mengikat tali pertunangan November lalu. Nampaknya penyanyi yang mula mencipta populariti menerusi lagu Caramu ini bijak menyimpan rahsia cintanya daripada pengetahuan umum.

Komposer yang memenangi Anugerah Album Terbaik pada majlis Anugerah Industri Muzik (AIM) awal tahun lalu menerusi album Faizal Tahir, Aku.Muzik.Kamu dikatakan melamar Nikki ketika mereka bercuti ke Bangkok, Thailand bagi meraikan hari jadi penyanyi itu.

Ketika ditemui pada sesi fotografi khas bersama Rap, Nikki mengesahkan berita gembira itu dengan menjelaskan dia dan Audi merancang melangsungkan perkahwinan Jun ini.

“Memang benar saya sudah bertunang, tetapi ingin jelaskan di sini, saya tidak berniat untuk merahsiakannya daripada pengetahuan umum. Sebaliknya saya tidak suka ia dihebohkan atau sengaja mahu memukul canang.

“Pada saya, ia perkara peribadi dan tidak ada kaitan dengan kerjaya seni. Bagaimanapun, apabila ada yang bertanya mengenainya, saya akan berterus terang dan mengaku memang benar kami sudah bertunang,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai sejarah percintaannya dengan komposer itu, kata Nikki, mereka mula berkenalan ketika Audi menjadi penerbit untuk album sulungnya, Maharani.

“Sewaktu proses rakaman dijalankan, kami hanya kawan biasa tetapi pada waktu sama masing-masing menyimpan perasaan. Ia tidak pernah diluahkan sehinggalah album saya dipasarkan tiga tahun lalu.

“Saya suka sikap Audi yang matang. Sepanjang bersamanya, saya banyak belajar mengenai industri muzik tempatan mahupun hal berkaitan peribadi,” katanya.

Keputusan diambil Nikki mungkin mengejutkan peminat memandangkan kerjaya penyanyi yang bakatnya dicungkil menerusi rancangan realiti tv, Malaysian Idol musim pertama ini baru hendak berkembang dan album keduanya, Hawa dipasarkan minggu ini.

“Pada saya, status tidak boleh dijadikan halangan. Saya yakin peminat sudah pandai menilai. Tengok saja sekarang berapa ramai artis wanita yang sudah bergelar isteri lebih berjaya berbanding ketika zaman solo mereka.

“Saya sendiri secara peribadi berasakan peminat mengenali saya menerusi muzik, bakat dan vokal tetapi bukan hal berkaitan peribadi seperti gosip atau kisah cinta,” katanya

Bercerita lagi mengenai hubungannya dengan Audi kata Nikki, dia gembira menghitung hari namun dalam waktu sama berasa pelik apabila bergelar tunangan orang.

“Semakin hampir hari perkahwinan kami, saya berasa berdebar. Tidak tahu mengapa kerana kalau hendak diikutkan kami sudah tiga tahun berkenalan sebelum mengambil keputusan berkahwin. Namun, nasihat ibu dan ayah saya, ia perkara biasa,” katanya.

Menyentuh mengenai album terbaru kata Nikki, Hawa jauh lebih baik berbanding Maharani kerana segala kesilapan dalam album terdahulu diperbaiki.

“Disebabkan mahu menghasilkan sesuatu yang bermutu, pembikinan Hawa mengambil masa tiga tahun. Ia juga berbeza jika dibandingkan dengan Maharani.

“Peminat jangan bimbang, walaupun berbeza, lagu berkonsepkan dance seperti Caramu tetap ada. Saya tidak boleh lari daripada lagu berkonsepkan dance kerana ia sudah menjadi jenama buat diri saya.

“Sebagai penyanyi saya sendiri lebih selesa membawakan lagu berentak rancak dan mudah untuk dijiwai.

“Ada beberapa lagu rancak yang saya yakin mampu menarik perhatian peminat seperti Cantik, ciptaan Audi manakala lirik ditulis Amelia dan Hawa ciptaan Kieran Kuek dengan lirik Mode.

“Dua lagu ini turut menjadi lagu kegemaran saya. Sehinggakan ia memberi inspirasi pihak pengurusan Artistes United Records and Management untuk menghasilkan klip videonya dan membentuk gaya persembahan di atas pentas.

“Tidak dilupakan juga lagu balada Selamat Tinggal yang dihasilkan Pam Yuen dan lirik ditulis Imran. Pada saya lagu ini walaupun berentak perlahan tetapi ia terkini dan segar. Kepada sesiapa saja yang mendengarnya kali pertama di radio pasti terpikat. Saya sendiri berbangga dapat mendendangkannya,” katanya

Mengenai persiapan menguruskan perkahwinan dan pada waktu sama mengadakan promosi, kata Nikki, dia bertuah kerana keluarga kedua-dua pihak banyak membantu.

“Lagipun tidak banyak persiapan yang kami lakukan kerana saya mahupun Audi merancang majlis perkahwinan secara kecil-kecilan dengan dihadiri hanya keluarga dan rakan rapat,” katanya seraya mengakhiri perbualan.


>Profile

NAMA PENUH: Nicolette Louise Palikat

PANGGILAN: Nikki

TARIKH LAHIR: 1 November 1985

UMUR: 21

TEMPAT LAHIR: Michigan, Amerika Syarikat

BINTANG: Scorpio

TINGGI: 163 sm

BERAT: 53kg

HOBI: Melukis dan membaca

MAKANAN DAN MINUMAN KEGEMARAN: Sushi dan teh hijau.

ALBUM: Maharani dan Hawa

KEJAYAAN: Artis Baru Terbaik Anugerah Planet Muzik (APM) 2005 di

Singapura dan Vokal Duet/Kumpulan Pilihan Anugerah Era 2006


Sumber: Harian Metro

3 comments:

Nur68 said...

Congrats to Nikki & Audi, patutle Audi terkemut2 je bila ditanya siapa tunangnye...hehehehe....Happy for both of u...

ladyM said...

WOW! congrats...x sangka...mmg pandai simpan rahsia u ols berdua ye...btw nice engagement ring...jeles sudaa...ahaks...all the best both of u

Barry said...

Wow... congrats Nikki! :D