June 24, 2009

Bukan cinta pandang pertama

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

Audi Mok (kiri) dan Nikki Palikat.

Audi Mok kongsi cerita mengenai perasaan di awal perkenalan dengan bakal isteri, Nikki Palikat

PERKENALAN pertama antara Audi Mok dan Nikki Palikat bukanlah cerita indah yang membawa kepada lahirnya cinta pandang pertama. Ketika Nikki diperkenalkan kepada pencipta lagu terbabit sewaktu pertandingan Malaysian Idol musim pertama, jejaka itu tidak menyukai wanita berusia 24 tahun itu.

"Ketika saya diperkenalkan kepadanya, saya tidak berapa suka padanya kerana dia nampak sombong. Enam atau tujuh bulan kemudian, kami ditemukan lagi oleh Vernon Kedit (pengurus Nikki), untuk bekerjasama dalam penghasilan album pertamanya. Ketika itu pun, hubungan kami tidaklah rapat sangat.

"Hanya selepas tamat rakaman, barulah perhubungan itu tampak akrab," cerita Audi tatkala diminta berkongsi kenangan bagaimana percintaan bersama penyanyi dari Sabah itu bermula, pada majlis pelancaran album kedua Nikki, Hawa, di ibu kota, baru-baru ini.

Nikki sendiri mendedahkan, betapa mereka asyik bergaduh dalam studio sepanjang proses rakaman berjalan.

“Saya sendiri pun tidak tahu bagaimana saya boleh suka padanya," kata Nikki sambil tergelak manja di sisi lelaki yang berjaya mencuri hatinya.

PENGARAH Urusan AUR, Michael Ang, Nikki dan Vernon dengan bangga menunjukkan CD Hawa.

Yang pasti, Audi jejaka yang amat bijak dan begitu profesional pada pandangan mata wanita berbakat ini. Faktor itulah yang sebenarnya membuatkan dia tekad memilih Audi sebagai teman sehidup semati. Lebih bermakna, Audi ialah teman lelaki pertama buat penyanyi yang bersuara lantang itu.

Selepas tiga tahun berkawan rapat, Audi akhirnya memberanikan diri melutut di hadapan wanita pujaannya tatkala mereka bercuti di Bangkok kira-kira tujuh bulan lalu bersama-sama keluarga.

Audi sendiri sempat menunjukkan rakaman di telefon bimbitnya bagaimana Nikki yang baru saja menyertai sekumpulan penari Thai mengadakan persembahan tarian tradisional di sebuah restoran makanan laut tiba-tiba tergamam apabila Audi menyatakan hasrat memperisterikannya.

Dengan linangan air mata, kata setuju diberikan. Peristiwa bersejarah itu dirakam pada saat Nikki menyambut ulang tahunnya, 1 November lalu.

"Saya betul-betul tidak menyangka Audi boleh bertukar menjadi begitu romantik pada masa itu," kata Nikki yang kemudiannya terus bersama-sama Audi menetapkan tarikh perkahwinan mereka pada 27 Jun ini.

Patutlah, kata Nikki, sepanjang perjalanan ke Bangkok, wajah Audi kelihatan cukup tertekan. Semuanya terjawab apabila dia melutut meminta jawapan pasti daripadanya.

Sedikit pun mereka tidak menyangka, Jun yang menjadi tarikh pilihan, sebenarnya bulan yang cukup sibuk buat kedua-duanya. Nikki dengan atur cara promosi album Hawa serta pembabitannya dalam beberapa acara, manakala Audi pula dengan penerbitan beberapa album artis tempatan.

Nasib baik, kata Nikki dan Audi, persediaan perkahwinan mereka tidaklah begitu besar. Majlis pernikahan kedua-duanya akan dilangsungkan pada jam 2 petang di Gereja St Francis Xavier, Petaling Jaya.

"Majlis kami hanyalah kecil-kecilan untuk keluarga terdekat dan sahabat handai. Sebaik saja kami selesai melangsungkan acara di Petaling Jaya, kami bergegas pulang ke rumah orang tua Audi di Melaka pada hari yang sama untuk acara jamuan bersama keluarga di sana pula," kata Nikki yang turut berhajat mengadakan majlis resepsi di Sabah, berkemungkinan besar, awal Ogos depan.

Nikki mula intai peluang ke Indonesia

BEBERAPA hari sebelum acara pernikahan, Nikki terlebih dulu mengadakan persembahan istimewa di Borneo Barok Club, Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur, sebagai sebahagian agenda promosi album keduanya, Hawa.

Pada 24 Jun itu, dia bukan hanya menyanyikan beberapa lagu petikan album terbaru, malah turut ‘jamming’ bersama kumpulan residen, The Big Band, menghiburkan pengunjung kelab dan peminat.

Menyentuh perkembangan baru kariernya, penyanyi di bawah label Artistes United Records (AUR) ini kini dikatakan dalam usaha meluaskan pengaruhnya ke negara seberang, Indonesia pula.

Menurut Vernon, mungkin terlalu awal untuk mengumumkan perkara berkenaan, tetapi usaha ke arah itu pada hakikatnya sudah pun dimulakan.

"Beberapa perbincangan dengan pihak berkenaan di Indonesia sudah pun kami adakan. Jika semuanya berjalan dengan baik, mungkin satu hari nanti, peminat di Indonesia akan dapat menikmati muzik Nikki di sana pula," katanya.

Pada majlis pelancaran album Hawa, turut hadir memberikan sokongan ialah Pengarah A&R E-Motion Entertainment, Satriyo Yudi Wahono, yang juga pencipta lagu dan pemain gitar kumpulan Padi. Selain E-Motion, pemuda ini turut mengasaskan sebuah lagi syarikat diberi nama Jasmera Communication yang mencari bakat baru di Indonesia dan luar negara itu untuk diketengahkan kepada peminat serumpun.

Dia berasakan, muzik yang dipersembahkan oleh Nikki mempunyai kekuatannya sendiri dan mempunyai peluang untuk dipasarkan di negaranya.

"Walaupun masih terlalu awal untuk bercerita mengenai usaha membawanya ke Indonesia, tetapi saya dapati muzik yang dipersembahkan menerusi album Hawa cukup ke depan. Mungkin kami sudah mempunyai bakat yang seakan sama dengan Nikki seperti Agnes Monica, tetapi Indonesia belum ada penyanyi yang memiliki suara bersiul sepertinya," kata lelaki yang lebih dikenali sebagai Piyu ini.

Antara usaha awal yang mampu difikirkannya ketika ini adalah dengan mengetengahkan lagu Nikki di radio negara itu sebagai pembuka jalan untuk peminat sebelah sana mengenali lebih dekat penyanyi yang mula dikenali dengan lagu Caramu (duet bersama Zahid) itu.


Sumber: Berita Harian

1 comments:

Anonymous said...

Nicky you look lovely in the above picture. And congrats to you and audi on your upcoming wedding. All the best and god bless