January 11, 2009

Naluri Nikki


Oleh Suzan Ahmad



BERSUNGGUH dan bertanggungjawab sejak bergelar artis rakaman, demikian gambaran pertama yang dipaparkan terhadap Nikki sejak dikenali dalam industri hiburan. Sesi fotografi yang diaturkan semata-mata bagi mempromosi album terbarunya berjudul Hawa menampakkan semangat beliau yang cukup komited.

Sambil memikirkan jawapan yang cocok untuk setiap soalan diajukan wakil B*Pop, Nicollette Louisa Palikat, 23, atau lebih mesra dengan Nikki sempat berlatih beberapa ‘pose’ sesuai sebelum sesi fotografi bermula.

“Nikki baru saja selesai dengan fotografi untuk kulit album Hawa, jadi sekarang Nikki dalam debaran menanti album kedua ini berada di pasaran berkemungkinan akhir Januari ini,” katanya yang meraikan sambutan Hari Krismas lalu bersama keluarganya di Sabah.

Berbanding album sulung berjudul Maharani, Hawa menyelongkar lebih mendalam naluri kewanitaan, menampilkan lebih kematangan bukan saja dari segi persembahan vokal tetapi juga imej dan persona eksotik Nikki.

Mempertaruhkan Relakan ciptaan Audi Mok sebagai single pertama yang sudah mula diperdengarkan sejak Oktober lalu, kini penyanyi yang dicungkil bakatnya dari program realiti TV, Malaysian Idol itu bersandarkan pula pada lagu berjudul Selamat Tinggal ciptaan Pam Yuen dan lirik karya Imran.

Menerusi syarikat pengurusannya, Artistes United Records and Management (AUR), artis kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini diberikan pilihan fleksibel untuk menentukan apa yang dimahukan menerusi Hawa. Memilih konsep pop Melayu moden, Hawa antara lain menghidangkan lagu dengan sentuhan klasikal, country, rock dan pop namun cenderung ke arah mood yang daring, funky dan penuh attitude.

Menariknya, semua 12 lagu sentuhan antara lain komposer Audi Mok, Faizal Tahir, Pam Yuen dan Kieran Kwek bermula dengan kajian sebelum dipadankan dengan personaliti Nikki. Mudah kata, setiap lagu dalam Hawa dibikin khusus mengikut cita rasa dan personaliti pemenang Penyanyi Wanita Terbaik di Anugerah Planet Muzik 2006 ini.

“Saya begitu bersyukur kerana dapat bekerja bukan saja dengan komposer, penulis lirik dan orang di belakang tabir yang begitu fleksibel serta arif dalam hal pembikinan dan penerbitan lagu, malah mengambil kira naluri muzik saya walaupun masih hijau,” jelasnya jujur.

Mengakui hati sudah dimiliki

Ketika ditanya mengenai khabar angin mengatakan Nikki sedang dilamun cinta, jawabnya mudah: “Saya lebih selesa diperkatakan dan dikritik kerana kerjaya muzik dan bukan kerana cerita peribadi yang hangat dan sensasi. Tapi saya tidak nafikan ada artis yang menggunakan kisah sensasi untuk dikenali dan cara itu berjaya, tapi jujurnya ia bukan cara Nikki,” tambahnya lagi yang mengaku hatinya sudah dimiliki.

“Ya, Nikki mengakui sedang intim dengan seseorang, tapi biarlah perasaan dan kisah itu menjadi hak peribadi Nikki buat masa ini,” katanya yang mengakui perasaan cinta dan kasih sayang banyak memberi inspirasi dalam pembikinan album terbarunya itu.

Mengulas ringkas perubahan yang berlaku dalam syarikat pengurusan berkenaan selepas Ning Baizura menarik diri dan mahu bergerak sendiri tanpa pengurus, Vernon Kedit, Nikki menjelaskan: “Rasa serba salah itu memang ada pada mulanya. Itu tidak Nikki nafikan tetapi setiap kali ada perbincangan, Nikki ambil jalan untuk duduk atas pagar dan lihat apa yang terbaik untuk kerjaya Nikki. Pada masa sama , kami masih bersahabat dan dia (Ning) punya hak untuk memilih apa yang terbaik untuk dirinya. Ning seorang yang tidak pernah lokek ilmu dan sentiasa menyuntik semangat positif dalam diri kami sebagai barisan penyanyi pelapis. Nikki doakan yang terbaik buat Ning, dia seorang yang kuat bekerja dan Nikki tak ragu dia mampu melakukan apa saja diimpikannya selama ini."


Sumber: Bintang Popular

0 comments: