November 30, 2008

Menoleh sisi feminin Nikki


Oleh WANDA IDRIS


PENUH unsur feminin, itulah yang ditonjolkan pada konsep kulit album Nikki berjudul Hawa yang bakal dipasarkan bulan depan. Hawa bagi seorang Nikki merujuk kepada sebuah refleksi kekuatan kewanitaan yang bukan mudah diperkotak katikkan melalui sensualitinya.

Ia tentang keinginan dan peralihan tempoh kematangan seorang gadis menjadi wanita, sama dengan jalur album keduanya ini yang diinterpretasikan menerusi lagu dan lirik.

“Konsep ini sesuatu yang baru dan belum ada di Malaysia. Jadi hasilnya mungkin bagus atau juga mungkin jelik bergantung kepada cara saya ‘membawa’ diri bergaya di depan kamera,” kata Nikki yang ditemui semasa menjalani fotografinya di sebuah studio di Damansara Perdana, Rabu lalu.

Biar sudah intim dengan kerja-kerja fotografi namun penggambaran kali ini tetap memberi cabaran buat Nikki khususnya membawa wataknya di depan kamera. Berbanding album terdahulu, Maharani yang lebih bersifat keremajaan, Hawa pula memaparkan transformasi sisi feminin seorang gadis untuk bergelar wanita muda.

“Bukan mudah dan paling mencabar tentunya untuk menampakkan kematangan kerana saya tidak mahu dilihat tua sebelum waktunya.

“Perlu cari keseimbangan sama seperti diri saya yang kini sudahpun menginjak usia 23 tahun. Biar matang tapi masih ada kenakalan seorang gadis,” katanya yang menganggap pembikinan kulit album itu sebagai sesuatu yang berani.

Terus hadir dengan konsep pop Melayu moden, album itu nanti umpama sebuah booklet yang bercerita kerana dalam keseluruhan album itu sendiri, ada mesej yang ingin disampaikan pada setiap lagu yang dimuatkan.

Relakan merupakan single pertama Nikki namun Selamat Tinggal yang menjadi single keduanya kini semakin kerap dimainkan di radio.

“Menurut deejay-deejay yang ditemui, ada peminat yang sudah membuat permintaan untuk lagu itu. Itu sesuatu yang positif untuk memberitahu album penuh akan muncul tak lama lagi,” kata Nikki.

Diterbitkan oleh Vernon Kedit-Jolly dan Michael Ang, Hawa memautkan 12 buah lagu termasuk dua lagu Inggeris.


Eksperimentasi Nikki

Meneruskan kolaborasi dengan Audi Mok, album ini juga mendapat sentuhan daripada Faizal Tahir, Kieran Kuek, Pam Yuen dan Nur Fatimah serta lirik nukilan Amylea, Ad Samad, Azalea, Imran dan Mode.

Sama seperti keterujaannya menjayakan penggambaran kulit albumnya, Nikki juga mengakui rasa yang sama sewaktu pembikinan album keduanya ini yang memulakan proses rakaman selama sebulan pada September lepas apalagi kali ini Nikki banyak terlibat dalam proses pembikinan termasuk pemilihan lagu.

Juga selepas mengaut sedikit sebanyak pengalaman sejak menjadi artis rakaman, anak kelahiran Sabah bernama sebenar Nicolette Louisa Palikat mengakui amat menghargai perincian buat albumnya termasuk soal bunyi dan gaya vokal.

“Saya meletakkan usaha untuk album ini. Dulu ketika menghasilkan Maharani, saya juga teruja tapi ketika itu saya masih baru dan tak tahu apa-apa.

“Kali ini saya menyuarakan hasrat dan keinginan saya diberi perhatian. Saya sungguh menghargai kepercayaan penerbit.

“Lebih mengujakan apabila saya dibenarkan memasukkan unsur opera bagi sesetengah lagu,” kata Nikki gembira. Dia yang memang meminati unsur klasikal memberanikan diri untuk memasukkan elemen opera bagi beberapa lagu yang dimuatkan dalam Hawa.

Malah tanpa latihan formal, Nikki juga bersedia menerima kritikan terutama daripada penggemar irama opera dan klasik khususnya mereka yang mempelajari ilmu berkaitan genre itu.

“Memang saya takut juga nanti akan ada komen mengatakan teknik saya tak betul, lontaran suara saya tak betul. Tapi bagi saya ia adalah satu eksperimen.

“Saya akui adanya kesilapan teknikal sebab saya sendiri tak mempunyai latihan formal. Sekadar bersandarkan minat.

“Tapi saya juga percaya, kerja-kerja seni adakalanya tidak perlu terlalu terikat dengan soal teknik. Kita perlu inovatif,” katanya optimis.


Dipetik dari Pancaindera

1 comments:

Anonymous said...

congratulations for the effort to produce your 2nd album...
i really really love 'Julangan Permata' dari album Maharani.for me, lagu tu ballad yang setaraf ngan ballad omputih seperti Hurt (Christina). rasanya antara lagu Nikki yang paling susah untuk dinyanyikan dalam album tu...
harap boleh buat something untuk memperkenalkan lagu tu..maybe boleh dimasukkan balik dalam ur new album.