August 28, 2008

Rona cinta

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my


Kagumi Audi Mok: Bagi anak didik Ning Baizura ini, komposer itu seorang yang tinggi ilmu dalam muzik

ADA angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa, anak didik Ning Baizura, Nikki, 23, atau nama sebenarnya Nicollette Louisa Palikat sedang menganyam rindu dan cinta dengan seorang komposer terkemuka, Audi Mok.

Nikki yang ditemui Hip pada Julai lalu sewaktu merakamkan sebuah lagu baru untuk album keduanya di Studio Fuse, Petaling Jaya tidak melatah mahupun menunjukkan ekpresi terkejut tatkala diajukan soalan itu.

Sebaliknya, Nikki semakin bijak dan tenang menangani soalan itu sambil mengakui yang mereka berkawan rapat apatah lagi komposer itu juga antara nama yang tersenarai memperkuatkan lagi jentera album terbarunya selain Faizal Tahir, Kieran Kuek dan ramai lagi.

Andai ditafsir ada rona cinta yang mekar antara mereka, namun jalan terbaik ialah untuk tidak menghebohkan selagi belum ada ikatan yang pasti. Bimbang pula kalau tak jadi, mereka pula yang harus menanggung malu.

“Kami memang berkawan rapat tetapi belum ke tahap serius, masing-masing masih mengenali hati budi. Hubungan kami masih di peringkat awal dan dia juga sudah mula terbabit menerusi album pertama saya berjudul Maharani.

“Dia seorang pemuzik dan lelaki yang sangat berbakat, profesional dan saya sangat tertarik dengan ilmunya dalam muzik. Sepanjang bekerjasama dengannya, saya banyak belajar serba sedikit mengenai muzik,” ungkap Nikki yang menyukai lelaki yang matang dan berpengalaman.

KOMPOSER BERBAKAT: Audi Mok dikatakan sedang hangat bercinta dengan Nikki.


Mengimbas kembali detik permulaannya yang dikenali menerusi program realiti, Malaysian Idol musim pertama, biarpun gagal menempatkan diri di liga terbaik, Nikki masih mendapat rahmat dan dirinya disambar pengurusan Ning Baizura.

Selain Nikki dan Yanie, Nubhan daripada Akademi Fantasia musim keenam juga sudah disunting menyertai syarikat itu.

Kata Nikki, kontraknya tiga tahun bersama Ning & Associates berbaki setahun lagi. Tambah Nikki lagi, menyertai syarikat itu dilihat sebagai langkah tepat dan bijak untuk dia terus merencana pacuan kerjaya seninya.

“Saya tidak pernah menyesal membabitkan diri di dalam arena seni kemudian diurus serta dipantau pula oleh Ning Baizura dan Vernon Kedit. Saya tidak boleh berjaya tanpa bimbingan dan tunjuk ajar mereka.

“Ironinya, bukan mudah artis semuda saya boleh terus mengekalkan hayat di dalam industri andai tiada jaminan dan ikatan kukuh yang mampu memberi sokongan di belakang kita. Saya pernah mendengar luahan teman artis yang sebaya saya mengakui betapa peritnya untuk meneruskan perjuangan seni apatah lagi keadaan pasaran album kita memberi petunjuk yang negatif,” kata Nikki yang cukup meledak dengan lagu duet bersama Zahid berjudul Caramu.


Gemar gaya gothic ala Victoria


DALAM tempoh pembabitannya selama tiga tahun, ada dua anugerah yang mampu menggembirakan hatinya. Antaranya Nikki pernah diiktiraf sebagai Artis Baru Terbaik menerusi Anugerah Planet Muzik 2006. Lagu Caramu sedikit sebanyak telah melonjakkan popularitinya dan album keduanya nanti diharap akan terus memperhebat trek rekod pencapaiannya.

“Saya juga gembira dengan apa yang saya kecapi dan miliki selama ini tetapi sebagai manusia biasa masih banyak perkara yang perlu saya mantapkan, perbaiki dan kejar. Saya bersyukur dan pada masa yang sama, saya tidak boleh bergoyang kaki menunjukkan rasa puas hati.

“Saya ingin terus bereksperimentasi dari segi persembahan. sebagai contohnya menerusi kolaborasi saya, Yanie dan Ning melalui lagu Drama. Saya memang gemarkan gaya gothic dengan sedikit sentuhan ala Victoria.

“Untuk album kedua nanti, saya tertarik untuk mengabadikan gaya dan imej saya dengan imej vintage seperti yang pernah dibuat oleh penyanyi Christina Aguilera dan Rihanna melalui potongan rambut tahun 20-an dan 40-an. Gaya rambut itu disebut sebagai crimping,” katanya.

Sebagai permulaan lagu Relakan berkonsepkan pop R&B dengan sentuhan mid tempo akan dijadikan single pertama. Jika tiada aral melintang album kedua Nikki ini bakal menemui peminat selepas Aidilfitri nanti.


INFO: Sepintas Nikki


* Ning Baizura: Lagenda. Banyak membantu Nikki mencorakkan gaya nyanyian dan persembahan.

* Audi Mok: Berperwatakan menarik dan bakatnya sesuatu yang tidak boleh dinafikan.

* Alat mekap: Sesuatu yang dapat menonjolkan mood Nikki pada satu-satu masa. Mempunyai tiga beg solekan.

* Program realiti: Melahirkan generasi ‘pelapis’ industri seni tanah air.

* Kasut: Ada 80 pasang kasut dan ramai sudah mengatakan dirinya sangat ‘ketagih’ kasut.

* Blog: Sudah mula menulis blog, menjadi penulis sumbangan di blog Vernon Kedit di mrmanager.blogspot.com


Lagu Relakan


Kata Nikki, lagu ini berkisarkan kisah cinta dan tiba-tiba wanita itu merasakan yang dia sudah tidak mempunyai perasaan terhadap kekasihnya. Moral lagu ini ialah bagaimana seseorang terpaksa merelakan dan berserah kepada takdir mengenai pengakhiran cinta kerana kekasihnya masih berharap kepadanya.

POSITIF: Nikki bersemangat untuk meneruskan legasi seninya.

FAKTA

* Hanya bertahan sebagai Top 6 Malaysian Idol musim pertama.

* Akuinya, dia lebih gemar menyanyikan lagu dengan nada rancak.

* Album kedua ini akan memuatkan dua buah lagu Inggeris. Album kedua ini lebih matang dan dewasa.

* Nikki pernah dikaitkan kononnya pernah ‘berperang’ dengan Elyana tetapi kisah itu tidak berlanjutan dan masing-masing menafikan ada onar atau perasaan cemburu.

* Pernah memenangi Vokal Duo Pilihan di Anugerah Era 2006 menerusi kolaborasi lagu Caramu bersama Zahid.

* Gadis ini bertuah kerana mendapat bimbingan penyanyi terkenal, Ning Baizura dan pengurusnya, Vernon Kedit Jolly. Nikki bernaung di bawah anak syarikat Ning Associates, Artiste United Records.

* Kejayaan Ning dan kesungguhan Vernon menjadi inspirasi kepada Nikki untuk mencontohi mereka. Baginya, Ning menurunkan banyak ilmu malah kerap membawanya mengikuti persembahan untuk melihat cara Ning beraksi dan berinteraksi dengan penonton.

* Pernah mendapat pencalonan awal bagi kategori Artis Baru Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2005.

* Myspace: www.myspace.com/nikkipalikat


PROFIL: Nicollette Palikat

Umur: 23 tahun

Tarikh lahir: 1 November 1985

Asal: Tambunan, Sabah

Pendidikan: Matrikulasi Sains Hayat, Kolej Matrikulasi Labuan.



Dipetik dari Hip, Berita Harian, 25/08/08

4 comments:

atheosofie said...

wow! only now i knew u have a blog. congrats girl! keep blogging.. (suggestion only: why not moved your previous blog posting in Vern blog page to your own blog page)... keep blogging and feeding us your stories.

Unknown said...

yay! yay! yay!

now you can transfer your posts from v's blog to yours. :)

Barry said...

Hey Nikki! Finally, your own blog. Would be great to hear lil updates on your second album. Whats it gonna be like? Who is working on it? You know, the usual stuff.
And perhaps a diary of your shows would be great as well. Never managed to catch you perform live.
Anyhows, enough from me now. Have a great weekend! :D

AwAng AMIRul said...

hi nikki..
finally u create ur own blog...
just want to say hidup KML...
haha....